Kebangkitan Hitler sebagai Fuhrer parti Nazi Adolf_Hitler

Hitler dibebaskan dari penjara pada 20 Disember, 1924. Jerman pada waktu itu sedang mengalami pemulihan ekonomi dan rakyatnya mula yakin kembali dengan sistem demokratik negara. Antara 1924 hingga 1929, partinya mengalami zaman yang malap. Sewaktu pilihan raya 1924 dan 1928, parti NSDAP memenangi kerusi yang sedikit di Reichstag iaitu kurang daripada 20 kerusi. Pada waktu ini, beberapa orang penting telah menyertai parti NSDAP iaitu Joseph Goebbels dan Heinrich Himmler. Mereka kemudiannya menjadi penyokong Hitler yang paling berpengaruh semasa beliau memimpin negara Jerman.

Walaupun begitu nasib mula menyebelahi Hitler pada 1929, apabila Amerika Syarikat dilanda Kemelesatan Besar akibat kejatuhan di Wall Street. Pada akhir 1930, hampir 4 juta rakyat Jerman telah menjadi penganggur. Sokongan kepada parti NSDAP semakin melonjak. Pada tahun 1929 parti NSDAP memenangi undi majoriti dalam pengundian bandar Coburg, dan kemudiannya memenangi pengundian daerah Thuringia. Akhirnya pada pilihan raya umum September 1930, parti pimpinan Hitler telah menambahkan kerusinya daripada 14 kepada 107, menjadikannya parti kedua terbesar di Reichstag.

Pada 1932, parti NSDAP telah menjadi parti terbesar di Reichstag, namun parti beliau disekat oleh parti lain seperti parti Jerman Sosial Demokrat dan parti Komunis Jerman. Sebelum ini, beliau telah berulang kali meminta Presiden Paul von Hindenburg untuk menjadi Canselor tetapi telah menemui kegagalan. Akhirnya beliau telah hilang sabar dengan demokrasi dan melancarkan keganasan terhadap penyokong sosialisme dan komunisme. Ramai penyokong parti telah dibunuh dan beberapa ahli parti Nazi telah dipenjarakan. Akibatnya, ramai rakyat Jerman menolak Nazi yang dianggap sebagai parti samseng dan pada pilihan raya 1932, sokongan parti ini telah menurun. Manakala, parti komunis pula telah mendapat sokongan padu dan telah berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen sebanyak 100 kerusi.

Walaupun begitu, Hitler telah menggunakan kemenangan parti komunis sebagai suatu kesempatan untuk mencetus huru-hara. Beliau dengan jentera propagandanya telah berusaha menakutkan rakyat jelata dengan menyebarkan berita kononnya kebangkitan Bolshevik akan berlaku dan hanya NSDAP mampu membendungnya. Beberapa ahli perniagaan terkenal yang risau dengan revolusi tersebut telah merayu kepada Paul von Hindenburg supaya Hitler dilantik sebagai Canselor. Hindenberg akhirnya terpaksa akur dengan desakan mereka dan melantik Hitler yang berusia 43 tahun sebagai Perdana Menteri 'Chancellor' Jerman.